Wan Ahmad Fauzi, Wan Husain (2018) Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuan. Abad Sinergi Sdn. Bhd., Selangor. ISBN 978-967-5473-46-3
Pdf
ISI BUKU KEDAULATAN RAJA RAJA MELAYU_180518.pdf Restricted to Repository staff only Download (26MB) | Request a copy |
Abstract
Buku ini merupakan lanjutan daripada tesis Ijazah Doktor Falsafah Undang-undang pengarang. Tesis pengarang berjudul ‘Konsep Kedaulatan Watan Raja-Raja Melayu Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia Menurut Sejarah Perundangan’. Pengarang menulis buku ini sebagai satu ikhtiar untuk menjawab pelbagai persoalan yang dilontarkan tentang prinsip raja berperlembagaan dan peranan Raja-Raja Melayu dalam konteks Perlembagaan Persekutuan pada hari ini. Objektif utama buku ini adalah untuk menghuraikan kedaulatan raja-raja dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan. Dalam buku ini, analisis dibuat secara mendalam dari sudut sejarah undang-undang tentang konsep kedaulatan watan tanah air dengan menyoroti sistem politik dan undang-undang bertulis seawal Kesultanan Melayu Melaka. Faktor-faktor yang menyokong kelangsungan konsep kedaulatan watan tanah air merentasi tempoh campur tangan Portugis, Belanda dan British turut dibahaskan untuk menjelaskan legitimasinya di bawah Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan. Objektif kedua buku Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuanini adalah untuk menghuraikan implikasi kedaulatan watan Raja-Raja Melayu ke atas prinsip kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong dan pemakaian undang-undang. Buku ini dibahagikan kepada sembilan tumpuan seperti diperihalkan dalam kandungannya. Kedaulatan dari sudut konsep dan implikasi pada sisi pemikiran Barat dan Islam diperhalusi untuk menghasilkan pemerhatian yang berwibawa. Perbahasan dibuat berasaskan latar belakang sejarah dan politik Tanah Melayu seawal pra-Kesultanan Melayu Melaka termasuklah juga epistemologi Melayu. Ketatanegaraan Kesultanan Melayu Melaka dicerakinkan untuk menghuraikan konsep sebenar kedaulatan watan tanah air. Sumber-sumber daripada adat Melayu, Hukum Kanun Melaka, al-Qur’an, al-Sunnah, Undang-Undang 99 Perak, Itqanul Muluk, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak, Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu, undang-undang sivil, konvensyen, pandangan pakar-pakar bidang dan dokumen perundangan yang berkaitan, termasuk perjanjian-perjanjian yang dimeterai sehingga penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dibahaskan. Legitimasi kesinambungan dan pemakaian konsep kedaulatan watan seperti diasaskan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dalam Kerajaan-Kerajaan Melayu pra-Persekutuan Tanah Melayu 1948 ditonjolkan melalui jalur Kerajaan Melayu Perak dan Kerajaan Melayu Terengganu. Selanjutnya Perjanjian Negeri 1948 dihuraikan untuk membuktikan kesinambungan kedaulatan watan dalam pentakrifan kedaulatan semua raja di Tanah Melayu yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu 1957. Teori perlembagaan dan kedaulatan moden disentuh sekadar untuk mengemukakan kerangka konsep dan menyoroti kedaulatan secara satu perbandingan. Seterusnya kerangka pemikiran watan digunakan untuk menilai implikasi perjanjian-perjanjian antara Kerajaan British dengan Kerajaan-Kerajaan Melayu. Buku ini juga mengulas statut-statut dan kes-kes apabila membahaskan persoalan-persoalan berkaitan. Beberapa pindaan ke atas peruntukan Perlembagaan Persekutuan disentuh untuk menghuraikan kesan pemakaian kerangka Barat dan watan dalam pentafsiran Perlembagaan Persekutuan. Perjanjian Persekutuan Malaysia 1963 tidak menjadi subjek perbincangan dalam buku ini kerana ia tidak mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu. Buku ini akan menunjukkan bahawa kedaulatan Raja-Raja Melayu pada hari ini bersumberkan ajaran Islam dan bersendikan adat Melayu tidak pernah terungkai. Melalui premis tersebut, ia dapat menghuraikan kedudukan sebenar kedaulatan Raja-Raja Melayu, prinsip kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong dan pemakaian undang-undang dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Pentafsiran di atas mengharmonikan prinsip kuasa eksekutif Persekutuan dan kedudukan undang-undang Islam dengan peruntukan-peruntukan lain Perlembagaan Persekutuan. Faham kedaulatan yang diketengahkan dalam buku ini amat penting kerana ia dapat membantu golongan pemerintah, ahli-ahli politik, ahli-ahli perundangan, para penuntut undang-undangdan para pembaca untuk melihat prinsip perlembagaan Malaysia melalui kerangka yang sebenar. Di samping itu, ia mampu menjawab secara tuntas isu-isu sensitif melibatkan kedaulatanRaja-Raja Melayu dan pemakaian undang-undang Islam di Malaysia. Atas landasan yang sama, ia dapat dijadikan premis untuk menjustifikasikan penerusan unsur-unsur watan sebagai teras jati diri negara dan bagi perpaduan nasional. Buku ini tidak bermaksud untuk mengulas bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu kerana ianya sudah banyak dibahaskan sebelum ini. Selaras dengan skopnya,peruntukan-peruntukan bersifat ‘procedural’ dan `substantive provisions’ di dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak bersangkutan dengan ciri-ciri kedaulatan tidak disentuh. Pengarang ingin merakamkan penghargaan buat Profesor Dato’ Dr. Haji Mohamed Anwar Omar Din kerana membenarkan beberapa petikan beliau dalam makalah Jurnal berjudul ‘Asal-Usul Orang Melayu: Menulis Semula Sejarahnya’ bagi bab 1buku ini. Ucapan jutaan terima kasih kepada Dato’ Dr. Hussin Ab. Rahman al-Amudi, mantan profesor jurisprudens UiTM/UniSZA (2003-2017) atas sumbangan ulasan buku. Seterusnya penghargaan buat Istana Negara, Perpustakaan Negara Malaysia. Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuan Jabatan Penerangan Malaysia dan semua pihak yang terlibat sama dalam menjayakan penerbitan buku ini. Selanjutnya penghargaan setulus ikhlas buat Yayasan Pembangunan Buku Negara kerana menobatkan buku ini sebagai pemenang Anugerah Buku Negara - Serba Dinamik 2018 (Kategori Undang-Undang Perlembagaan). Akhirnya, tidak lengkap sekira tidak dirakamkan di sini bahawa pengalaman pengarang menganggotai Dewan Pangkuan Diraja Terengganu banyak membimbing dan memberi pendedahan untuk memahami konsep kedaulatan secara lebih tuntas. Moga buku ini dihitung sebagai satu ilmu bermanfaat di sisi Allah SWT yang mampu mendaulatkan Islam dan memeliharaInstitusi Raja Melayu di tempat sewajarnya.
Item Type: | Book |
---|---|
Uncontrolled Keywords: | Monarchy, Constitutional law, Law and legislation, Malaysia, Kings and rules |
Subjects: | K Law > K Law (General) |
Faculty/Division: | Faculty of Industrial Management |
Depositing User: | PM. Dr. Wan Ahmad Fauzi Hashim @ Wan Husain |
Date Deposited: | 20 Apr 2021 04:50 |
Last Modified: | 20 Apr 2021 04:50 |
URI: | http://umpir.ump.edu.my/id/eprint/31289 |
Download Statistic: | View Download Statistics |
Actions (login required)
View Item |